|
|
![]() |
![]() |
|||
|
|
PERNAHKAH anda melihat sejenis monyet yang hidungnya panjang, perutnya buncit dan ekornya tebal berwarna putih? Spesies yang dilindungi itu dikenali dengan nama saintifiknya sebagai proboscis monkey atau monyet bangkatan. Kalau dilihat seimbas lalu, monyet itu seolah-olah memakai seluar berwarna kelabu dan jaket berwarna oren. Gabungan warna kelabu, oren dan putih pada spesies itu membuatkan binatang itu sangat berbeza daripada kumpulan monyet yang pernah ditemui di negara ini. Cerita mengenai keistimewaan yang terdapat pada monyet itu telah menjadikan Sanktuari Hidupan Liar di Hilir Kinabatangan tidak putus- putus dikunjungi pelancong asing mahupun pelancong tempatan. Dikatakan setiap hari purata antara 80 hingga 100 pelancong datang ke sanktuari itu semata-mata untuk melihat monyet bangkatan. Mereka semuanya mahu melihat lebih dekat rupa monyet bangkatan yang hanya terdapat di Borneo dan beberapa kawasan hutan di Sabah. Pada masa yang sama, pelbagai jenis binatang liar lain yang banyak terdapat di kawasan itu juga tidak kurang menjadi daya tarikan pelancong untuk terus mengunjungi kawasan tersebut. Sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke sanktuari ini tidak dapat menafikan keindahan alam semula jadinya yang masih terpelihara. Selain monyet bangkatan, hutan simpanan seluas 27,000 hektar itu juga dikatakan mempunyai sembilan spesies monyet lain. Antaranya kera hantu, kongkang, gibbon (ungka), orang utan dan beruk. Hutan simpanan ini dikatakan kawasan yang paling banyak didiami oleh spesies monyet di dunia. Kawasan itu juga mempunyai 106 spesies burung, 40 spesies mamalia seperti gajah dan rusa dan empat spesies reptilia, termasuk buaya. Monyet bangkatan yang bergerak dalam kumpulan dan gemar bergayut di tempat tinggi itu mudah dilihat kerana binatang itu gemar bermain di dahan pokok yang berjuntai ke arah sungai. Pelancong akan merasa lebih seronok apabila pada masa yang sama mereka dapat melihat gajah ataupun rusa. Hutan simpanan ini dikatakan mempunyai paling banyak spesies binatang liar yang telah hampir pupus, tetapi masih boleh dilihat di kawasan ini. Pelbagai jenis pokok yang berjuntai dan ada antaranya mencecah sungai itu menambahkan lagi keindahan alam semulajadi di kawasan ini. Pelancong yang pernah sampai ke kawasan ini sudah pasti akan membuat pertimbangan untuk menjejakkan kaki kali kedua ke sanktuari ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk bermalam di calet yang terdapat di kawasan hutan itu. Bermalam di calet ini dikatakan akan memberi lebih banyak kenangan manis kerana di samping dapat meluangkan lebih banyak masa menerokai kawasan hutan ini, pelancong juga akan dapat merasakan betapa sejuknya udara waktu malam dan segarnya udara pada waktu pagi. Menurut Penolong Pegawai Hidupan Liar Sabah, Sumbiz Jadas, terdapat lima syarikat pelancongan yang menyediakan kemudahan calet yang dibina di tebing Sungai Kinabatangan. Calet itu betul-betul menawarkan panorama yang menarik untuk pencinta alam semula jadi. Kata Sumbiz, pelancong yang datang ke sanktuari ini boleh meninjau kawasan ini sama ada menggunakan bot ataupun merentas hutan secara berkumpulan. Sukar ditemui Sekiranya pelancong mahu menaiki bot, mereka boleh memilih sama ada menggunakan khidmat bot pengusaha persendirian ataupun bot daripada syarikat pelancongan. Melalui bot, Sumbiz memberitahu, pelancong akan terpesona melihat monyet bangkatan sambil menikmati keindahan sungai yang tenang dan dilingkari hutan di kiri kanannya. Katanya, suasana ini agak sukar untuk ditemui di kawasan lain, lebih-lebih lagi di negara yang telah banyak melalui proses pembangunan. Menyedari hakikat itu, Sumbiz berkata, pihak telah membina satu pejabat untuk dijadikan pusat menyambut pelancong di Danau Girang. Danau Girang yang terletak ke hulu Sungai Kinabatangan itu diharapkan akan dapat memberi khidmat kepada pelancong yang ingin mengetahui rahsia di hutan simpan itu. Selain itu, kata Sumbiz, pejabat yang menelan belanja RM1.1 juta dan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan ini dipercayai mampu mempromosikan lagi sanktuari ini kepada masyarakat antarabangsa. Pejabat itu dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan depan. Seorang pengusaha bot persendirian, Rosli Johar berkata, sanktuari ini memang terkenal kerana tiap-tiap hari botnya tidak putus-putus ditempah oleh pelancong. Rosli berkata, walaupun baru kira-kira tiga bulan mengusahakan bot membawa pelancong dia sungguh seronok melihat gelagat pelancong yang berpuas hati selepas menjejak kaki ke sini. "Monyet bangkatan menjadi daya penarik utama membawa pelancong ke sanktuari ini," jelasnya. Beliau berkata, bayaran yang dikenakan untuk sebuah bot untuk meninjau kawasan sanktuari ialah RM70. Pelancong boleh menaiki bot itu beberapa jam sehingga mereka puas. Sanktuari yang mula dibuka sejak 1984 itu secara tidak langsung turut memperkenal Kampung Sukau. Kampung Sukau yang terletak kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta dari Sandakan, Sabah menjadi pintu utama untuk sampai ke Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan. Pelancong yang telah sampai ke Kampung Sukau hanya perlu berjalan kira-kira lima minit untuk sampai ke sanktuari hidupan liar itu. Daripada Kota Kinabalu, pelancong yang berminat ke sanktuari ini boleh menaiki kapal terbang yang memakan masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke Sandakan ataupun menaiki kereta yang mengambil masa kira-kira lima jam. Maklumat lanjut mengenai Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan ini boleh diperoleh dari Jabatan Hidupan Liar Sabah melalui nombor telefon 088- 215353.
Hubungi www.sukau-junglecamp.com
|
|
|
||
|
All rights reserved © 2008 by http://www.sukau-junglecamp.com |
|||||
|
|
|
|
|
|
|